Relak Minda Dirantau Seberang

Politik Malaysia kini menjadi suatu politik yang amat gila.Penuh keserabutan, berkecelamok.Tiada parti yang tiada bermasaalah,tiada bercakaran.

Adakala elok kita relakkan minda dengan melarikan diri jauh dari manusia manusia gila ini.Carilah sesuatu yang nyaman.Berjalanlah,berjalan menambahkan pengalaman.Meluaskan pandangan dan pemikiran. http://jom lawat tempat orang
Paparan perjalanan lokasi lokasi yang bolih menenangkan fikiran

Catatan Konpirasi

Ucapan Sultan Azlan Shah Tahun 1980 “Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya” – Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980



Beruk Baca Utusan

Beruk Baca Utusan

Isnin, 15 Februari 2010

Dari korporat ke politik:

Cabaran Khalid di Selangor
Chen Shaua Fui

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor bukan sahaja perlu berdepan dengan musuh politiknya UMNO-BN di luar, tetapi juga terjerat dalam pergelutan kuasa yang wujud dalam gabungan parti itu dirinya.

Sistem birokrasi yang tidak terkawal, ditambah pula kerajaan tempatan yang kurang cekap dan sebagainya, telah mencungkil ketidakpuasan pengundi. Lebih-lebih lagi, sesetengah dasar seperti pembekuan projek pembangunan di cerun bukit, turut mengundang ketidakpuasan pihak pemaju.

Keadaan bertambah runcing apabila kerajaan negeri PR Selangor diserang bertubi-tubi oleh lidah UMNO, Utusan Malaysia, malah khabar angin bahawa kerajaan ini bakal digulingkan tidak pernah terhenti. Prestasi "Reformasi" yang gagal menjangkau harapan rakyat, ditambah pula sesetengah pemaju yang dikatakan sedang mengerah sokongan untuk menjatuhkan kerajaan PR (lantaran ketidakpuasan tadi), maka kemungkinan kerajaan PR boleh mengekalkan kuasa di Selangor pada PRU ke-13 telah menjadi tanda soal.

Pimpinan Khalid Ibrahim

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menjadi tumpuan apabila tokoh korporat yang berkecimpung dalam bidang politik ini dikatakan cuba menerapkan corak korporatnya ke dalam pentadbiran kerajaan.

Walaupun prestasinya terserlah dalam pengurusan kewangan, misalnya menstruktur-semula sumber negeri Selangor, dan berjaya mengurangkan defisit kewangan, tetapi sesetengah pemimpin PR tetap tidak menyenanginya kerana menganggap kepekaan MB ini terhadap politik agak rendah.

Ramai ahli parlimen dan ADUN PR, terutamanya dari Kelab Penyokong tidak puas hati kerana Khalid Ibrahim tidak menyingkirkan pegawai kanan dalam sistem birokrasi yang enggan melaksanakan dasar kerajaaan negeri. Juga, Khalid dilihat "tidak cukup berani" untuk merombak kabinet kerajaan negerinya, misalnya menyingkirkan EXCO yang lemah prestasinya.

Pada 19 November 2009, DUN Selangor meluluskan pengambil-alihan hutang sejumlah RM392 juta yang ditunggak oleh Kumpulan Talam. Amalan ini adalah sesuatu yang lumrah dalam dunia korporat, tetapi tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan. Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim, yang membidas Khalid dalam email kepada wakil rakyat PKR.

Sistem penyampaian perlu dimantapkan

Dalam satu taklimat dalaman antara wakil rakyat PKR pada 26 Januari tahun ini, terdapat wakil yang membangkitkan masalah "sistem birokrasi yang gagal dikawal" oleh kerajaan negeri Selangor, lantas menjejaskan keberkesanan sistem penyampaian. Akibatnya, ramai wakil rakyat dilimpahi rungutan pengundi.

Sistem birokrasi yang sedia ada enggan memberi kerjasama sejak kerajaan negeri PR terbentuk selepas PRU ke-12, dan ini menjadi batu penghalang dalam operasi pentadbiran. Misalnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya mencetuskan pertikaian apabila merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman pada September 2008. Baru-baru ini pula, Majlis Perbandaran Klang secara senyap merobohkan stesen teksi di utara Klang pada awal pagi 20 Januari 2010, turut mengundang ketidakpuasan wakil rakyat kawasan itu, S.Manikavasagam.

Sebagaimana yang dimaklumkan, wakil rakyat PR tidak puas hati dengan Khalid Ibrahim kerana tidak menukarkan Yang Di-Pertua Majlis Daerah dan Datuk Bandar setelah menerajui tampuk kerajaan negeri. Pegawai kerajaan ini mewarisi kerenah birokrasi yang lama, dan tidak mematuhi dasar kerajaan negeri Selangor ketika menjalankan tugas.

Menurut seorang ahli Majlis Perbandaran, Ronnie Liu yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan juga menghalang penguatkuasaan pegawai Majlis Perbandaran, seperti mendenda pemilik warung yang tidak memenuhi syarat kebersihan yang ditetapkan. Ini menjurus kepada prestasi kerajaan tempatan yang gagal memenuhi harapan rakyat.

Disebabkan perkhidmatan kerajaan tempatan bakal memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, sesetengah pemimpin PR khuatir seandainya mereka gagal mendapat kerjasama daripada sistem birokrasi, maka pengundi akan menganggap pentadbiran kerajaan negeri kurang cekap. Ia disusuli dengan ketidakpuasan rakyat, dan mungkin diakhiri dengan kekalahan PR pada PRU ke-13.

Mempertingkatkan penyertaan ADUN

Seorang ADUN yang menghadiri taklimat tersebut berkata kepada MerdekaReview, ADUN dari Kelab Penyokong Kerajaan PR Selangor menyatakan harapan mereka untuk memainkan peranan yang lebih aktif, dan melibatkan diri dalam proses membuat keputusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hasilnya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengarahkan agar portfolio di bawah EXCO PKR menubuhkan kumpulan yang dianggotai ADUN untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

Ketidakpuasan terhadap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bukanlah sesuatu yang baru. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Azmin Ali pernah melontarkan kritikannya pada 9 Julai tahun lalu, malah mencadangkan agar MB merombak barisan EXCO-nya dengan menyingkirkan EXCO-nya yang kurang cekap. Bagaimanapun, Khalid Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk berbuat demikian setakat ini.

Dilema kerajaan PR Selangor:
Antara ideal dengan realiti

RSIS Malaysia Programme dari S. Rajaratnam School of International Studies (Nanyang Technological Universiti) telah membentangkan satu kertas akademik berjudul "The Current Prospect for the Pakatan Rakyat in Malaysia" pada Ogos 2009, dan menyentuh beberapa masalah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Menurut kertas tersebut, sektor perniagaan terutamanya pemaju telah menjadi salah satu punca konflik dalaman PR Selangor. Semasa PRU ke-12, sektor perniagaan menyokong parti-parti yang kemudiannya bergabung menjadi Pakatan Rakyat, dengan harapan untuk mewujudkan satu suasana yang terbuka, telus supaya sektor ini akan berkembang dengan bebas, tanpa bergantung kepada hubungan dengan politikus.

Pada permulaan PR menjadi kerajaan negeri, mereka cuba mengambil langkah untuk membebaskan informasi, mengamalkan tender terbuka dan sebagainya, supaya mewujudkan satu suasana yang sihat dan mesra peniaga.

Merindui zaman BN

Tetapi, 16 bulan selepas itu, sektor perniagaan pula berharap agar kerajaan negeri "melonggarkan" dasar kerajaan, supaya mereka memperolehi manfaat daripadanya. Misalnya, sektor perniagaan tidak menyambut baik keputusan kerajaan untuk membekukan projek pembangunan di cerun bukit selepas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Keputusan membekukan pembangunan ini mendatangkan kerugian kepada banyak pemaju.

Oleh yang sedemikian, pemaju berharap untuk memulihkan keadaan di mana pembangunan tidak dikawal dengan ketat, sebagaimana yang dilakukan bekas kerajaan negeri BN.

Pada Ogos lalu, kerajaan negeri Selangor merancang untuk merangka satu garis panduan pembangunan di cerun bukit, malah mengadakan public consultation untuk mengutip pandangan awam. Walau bagaimanapun, garis panduan tersebut masih berada dalam proses "merangka" sekarang.

Selain itu, sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, sebahagian penyokong PR berharap agar mereka memperolehi projek setelah PR menjadi kerajaan. Namun demikian, bukan kesemua permintaannya boleh dipenuhi. Misalnya, hanya kontraktor kelas F layak untuk mengambil bahagian dalam tender terbuka, tetapi kebanyakan penyokong PR bukan kontraktor kelas F. Jadi, mereka menjadi marah tetapi kerajaan negeri gagal berbuat apa-apa dalam hal ini.

Antara ideal dan realiti

Menurut kertas akademik tersebut, kerajaan PR kini berdepan dengan dilema bagaimana untuk berpegang kepada ideal perjuangannya dalam dunia realiti. Politik yang ideal menuntut agar kerajaan melaksanakan pentadbiran berlandaskan prinsip, malah tidak boleh berganjak langkah dalam mempertahankan prinsip ini. Prinsip ini perlu dijadikan panduan pentadbiran.

Namun demikian, politik realiti adalah sebaliknya, malah "berkompromi" itu dengan sendirinya adalah sebahagian daripada permainan politik.

PR telah menabur janji untuk mempertahankan demokrasi, anti-perkauman, ketelusan, kredibiliti dan sebagainya, maka tidak harus mengingkari janji-janji tersebut demi survival politik. Dalam kes pembangunan di cerun bukit, membelakangi dasar pembekuan pembangunan di cerun bukit akan meraih sokongan pemaju, tetapi mengingkari janjinya terhadap pengundi di sebaliknya.

Sesetengah pengundi menganggap tiada bezanya antara BN dengan PR. PR perlu menekankan perbezaan antara dirinya dengan BN. Kalau tidak, PR mungkin kehilangan sokongan, dan segala-galanya kembali ke titik asal.

Menurut kertas akademik tersebut, seandainya PR gagal mengekalkan idealismenya, malah tunduk kepada politik realiti, mereka akan membayar harganya. "PR tanpa ideal adalah PR yang kehilangan segala-galanya."

Langkah pendemokrasian

Walaupun prestasi kerajaan negeri belum mencapai apa yang dijangkakan oleh umum, tetapi kerajaan masih meneruskan langkahnya dalam proses pendemokrasian. Misalnya, kerajaan negeri berjaya mendesak agar kerajaan persekutuan mengklasifikasikan laporan tanah runtuh Bukit Antarabangsa; menggunakan kuasa yang diperuntukkan Akta Rahsia Rasmi kepada Menteri Besar untuk mengklasifikasikan beberapa dokumen rasmi, mengisytiharkan harta EXCO, merangka draf pembentangan Enakmen Kebebasan Informasi, mengkaji pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan dan sebagainya.

Selain itu, kerajaan Selangor juga mengadakan beberapa public consultation untuk mengutip pandangan awam secara terbuka. Antara isu yang terlibat termasuklah SELESA (Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor) dan garis panduan pembangunan di cerun bukit.

Walaupun PR tidak memperlihatkan pembaharuan secara besar-besaran, tetapi seandainya dibandingkan dengan keadaan tidak telus, enggan mendengar suara rakyat semasa pemerintahan BN, keadaan dikatakan sudah bertambah baik.

Pemimpin PR gagal menggoyah kedudukan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar walaupun tidak berpuas hati dengannya, melainkan melalui "undi tidak percaya" dalam DUN. Namun, untuk mengekalkan kuasa kerajaan di Selangor, PR dijangka tidak akan berbuat demikian. Lebih-lebih lagi, Khalid Ibrahim masih dianggap sebagai teknokrat yang agak baik di kalangan ADUN Selangor.

Namun, apa yang lebih penting adalah, bagaimana kerajaan PR menunjukkan kesungguhannya untuk membebaskan diri dari politik lama, dalam keadaan musuh berada di luar dan dalam selimut. Antaranya, menyingkirkan EXCO dan pegawai kanan yang tidak cekap, dan memperbaiki prestasi kerajaan negeri. Malah, PR perlu menggerakkan proses pendemokrasian, satu usaha yang tidak mungkin disaingi oleh BN. Kalau tidak, rakyat mungkin hilang sabar dan PR mungkin hilang kuasa kerajaan negerinya pada PRU yang akan datang.

*Chen Shaua Fui -Assistant Editor MerdekaReview.

Tiada ulasan: