Relak Minda Dirantau Seberang

Politik Malaysia kini menjadi suatu politik yang amat gila.Penuh keserabutan, berkecelamok.Tiada parti yang tiada bermasaalah,tiada bercakaran.

Adakala elok kita relakkan minda dengan melarikan diri jauh dari manusia manusia gila ini.Carilah sesuatu yang nyaman.Berjalanlah,berjalan menambahkan pengalaman.Meluaskan pandangan dan pemikiran. http://jom lawat tempat orang
Paparan perjalanan lokasi lokasi yang bolih menenangkan fikiran

Catatan Konpirasi

Ucapan Sultan Azlan Shah Tahun 1980 “Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekalipun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya” – Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980



Beruk Baca Utusan

Beruk Baca Utusan

Selasa, 15 Disember 2009

Relak Minda:Sang Wahabi Mencari Tuhan

Sang Wahabi Mencari Tuhan

-Azizi Hj.Abdullah

Sangat pantas orang menuduhnya Wahabi. Tapi dia tidak peduli. “Kalau nak bercakap tentang Tuhan, mana tauliahnya?” tanya orang masjidnya.

Puncanya sejak dia balik dari di Mesir dan Jordan. Orang hairan kerana dia solat tak baca Qunut dan tidak pula buat tahlil. Yang lebih menjadi masyarakat mesjid marah, dia tak mau pakai sifat dua puluh. Yang peliknya orang menuduh dia ke Mesir bukan belajar sangat tentang agama tapi belajar main biola kepada murid penyanyi Abdul Wahab. Kerana itu ke mana-mana saja dia bawa biola, malah ke masjid pun dibawanya biola. Dia gesek biola belakang masjid. Bermula dari situlah dia digelar Wahabi- Sang Wahabi.

Dia tergelak sampai terkencing cerit-cerit.

Dia kurus melengking macam tempinis tercacak dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih berketayap merah, nampak macam orang Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini.

Dia mahu satu pendekatan majhu mengajak masyarakatnya mencari Tuhan dan ingin berdakwah, berceramah bersama gesekan biolanya, sama ada di masjid atau di terus masuk ke dalam rimba. Dia ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan keujudan Tuhan dengan akta dan syeksen.

Dia tidak mahu lagi berkisar hanya perkara sunat. Dia tidak mahu berlarutan membahas Muktazilah, membahas Jabariah, bertegang urat tentang Wahabi tapi sekaligus menolak ulama-ulama lain. Ada yang mencari Tuhan secara taklid bukan mengkaji. Itulah yang hendak dibetulkan.

Pak Mat Siak di antara orang yang tidak respon pun. Telinga kanannya tetap pekak.

Kalau boleh dia mahu hentikan perbalahan tentang mazhab kewujudan Tuhan, tentang qadim dan azali Tuhan, tentang qodo qadar Tuhan. Dia mahu hentikan soal sunat muakad dan sunat haiat.

Dia tidak mahu lagi para tuan guru menambah pahala-pahala sunat, memanjang soal haram makruh, mengabaikan janji hanya dengan kalimah Insyaallah. Tuan guru bukan penyukat iman.

“Nak ke mana?” tanya Pak Mat Siak petang itu bila dia memberi tahu dia tidak lagi mahu menggesek biola di belakang masjid. Ketika itu Pak Mat Siak yang pekak telinga kanan sedang melipat sejadah selepas solat asar. Sudah 71 tahun.

“Nak cari Tuhan!”
Pekak Pak Mat tidak memberi apa-apa riaksi.
“Saya mahu cari tuhan di tempat lain!” ulanginya.
“Kenapa?”

Dia tak menjawab pun. Dia balik ke rumah usang peninggalan ibubapanya yang dilanda Thunami dulu. Esok selepas subuh di masjid dia akan berangkat. Dia mahu memeram lena semau-mau. Tapi tanpa disedari, lenanya telah membawa dia meredah rimba malam. Dia mula sesat dalam gelap.

Anih, tidak ada siapa pun yang mengganggu. Ada asap putih berat, mengangkat diri sendiri dan hilang tak semena-mena. Kehijauan pokok sangat mententeramkan. Ada curam sungai yang air jernih mengalir. Berjajaran pokok-pokok tinggi seperti memagari tebing. Di sekitar agak lapang dengan pokok-pokok balak dan sedikit semak rotan dan akar-akar tempat kera lutung bergayutan.

Ketika itulah dia sudah terhibur dengan muzik alam; kicau burung dan unggas. Bunyi tamparan dedaun dan geselan batang-batang pokok buluh dan ranting sangat mengasyikan. Dia mula membaca matematik jengkauan pacat-pacat dan batang-batang balak, menulis note muzik dedaunan, melakar lukisan kulit-kulit pokok dan bernyanyi bersama deru angin rimba.

Dimemulakanlah gesekan biola tuanya. Dia ingin benar-benar mencari Tuhan tanpa membawa kitab-kitab yang sudah lama menjadi krisis ulama.

Hari itu cuaca sangat lembab. Embun semalam masih belum kering lantara matahari di puncak gunung dilindungi awan gemawan dan kabus tebal.

Wahab pun melakukan relaksi untuk menghilangkan rasa lelah dan jenuh setelah lenguh menyenget dagu dan bahu diperut biola. Mulanya dia membiar telinganya dimasuki bunyi geselan batang buluh lemang di tepi curam turun ke sungai. Bunyi geselan itu sangat menakjubkan. Kemudiannya dia menggesek biolanya dan dia mendengar sendiri gesekan itu. Dia tidak mahu terpengaruh dengan Bach, dengan Schubert, dengan Mozart, Chopin, Brahme, Strauss. Cuma dia membiar pancainderanya menghirup bunyi sungai yang mengalir air di bawah curam dengan bisikan irama The Bluee Danube.

Subhanallah...lalu dia terbisik sendiri. Gesekannya rupa-rupanya tidak sia-sia. Memang benar dia tidak sia-sia mencari Tuhan. Dengan seluruh perasaannya dia menolak dan menarik tali biolanya dengan jari terketar-ketar, menggeletar, dengan siku menyiku dan apitan bahu dengan dagu. Dia telah membentuk rasa dan jiwanya sendiri. Dirasanya ada semacam perasaan yang kian menjelma halus, melalui gesekan.

Apakah dia sudah hampir dengan Tuhan?

Dia tidak tahu tetapi terasa ada satu nikmat yang terkulum. Beberapa ekur punai tanah nampak terbang dan hinggap di ranting kecil, kemudian turun ke tanah, menapak satu-satu dengan terpesona.

‘Subhanallah...’ bisiknya. Terlupa ia akan tuduhan Wahabi hanya sanya kerana dia tidak baca Qunut.

Kali ini dia mahu meleburkan keindahan alam dan Tuhan menjadi satu: Wahdaul wujud, dalam satu perasaanya yang komplek dalam dirinya. Begitu dia menggesek dalam suasana bening sepi itu.

Sangat sulit hendak digambarkan, jika Pak Mat Siak pekak telinga kanan ada di sisinya. Tetapi apapun dia sudah dapat merasa adanya Tuhan di hadapannya, sedang menyaksikan satu ketauhidannya. Rasa-rasanya dia semakin berjaya mengenal Tuhan melalui muziknya.

Apakah dia ‘riligius?’ yang mengenal Tuhan? Hahhh, soal bentuk dan zat Tuhan bukan persoalan penting tetapi mengakui dengan nekad dan sesungguhnya itulah sangat penting. Bukan soal Jabariah lagi, bukan soal Muktazilah lagi, bukan soal Ahlussunnah juga. Maturidi, Asy’ari, Ibnu Arabi atau Hallaj bukan persoalan. Yang penting dia semakin merasai dari muzik yang bersih heningnya.

Konsepsi hubungan alam, musik dan Tuhan akan muncul dalam fikirannya nanti. Dia yakin wujudnya Tuhan dalam dirinya.

Tapi apapun, dia tetap yakin bahawa keindahan itu dapat dirasakan melalui muzik, sama seperti keindahan itu dapat dirasakan melalui penglihatan, dirasakan melalui pendengaran dan semunya ciptaan Tuhan. Dia teringat ayat 190-191 surah Al Imran: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang mempunyai fikiran, iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka hindarkanlah kami dari siksa api neraka.”

Dia meneruskan menggesek lagi dengan takun dalam keadaan fana, zauq dan pasrah. Sewakytu menghirup teh misai kucing yang tak bergula itu, terdengar burung hantu sahut menyahut. Dia meneliang kepalanya. Yang pelik bukan sahut menyahut, tetapi seni bunyi susara itu menyebabkan suara itu bersahutan. Ada bunyi desir daun-daun dari pokok tinggi yang dikocak angin. Memang bunyi menderu yang menggerunkan. Tetapi ketakutannya timbul adalah kerana kedahsyatan hambatan angin dari gunung, menerkam dan menghinggut lembut dedaun sehingga desirnya membangkit satu macam perasaan makhluk lain.

‘Subhanallah...’

Tiba-tiba dia teringat pada satu malam Tuan Guru Syaikh Akhbar, guru bulanan masjid, membaca kitab tentang zat Rabbul Jalil. Bab-bab Uluhiah, bab Rububiah. Kemudian tak semena-mena Tuan Guru itu membeluk bacaannya. Ia menyindir secara tidak langsung kononnya tak bau syurga mereka yang main musik, apa lagi sampai membawa benda maksiat itu ke masjid.

Memang pun pada satu petang, selepas asar dia menggesek biolanya di sebuah bangku belakang masjid, berhampiran kubur pula bersama Pak Mat Siak pekak telinga kanan.

“ Mereka asyik dan lagho. Asyik dan lagho itu sahabat syaitan.” demikian hujah Tuan Guru itu.

Jauh di sudut hatinya dia sangat-sangat berharap orang seperti Tuan Guru itu perlu keterbukaan minda. Ketika di Banjarmasin dulu dia berhadapan dengan golongan yang berpegang kepada pasifis dan philantropis. Dan dia sangat terbuka dengan soal-soal ini. Maka dia pun mencari guru yang mampu menghuraikannya, di samping mengusung biola buruknya dalam pra mencari Tuhan. Seorang guru falsafah memberitahu, bahawa terminologi pasifis berarti cinta damai. Tidak ada manusia berfikiran normal yang tidak cinta damai. Terutama di saat begitu banyak kekerasan dan permusuhan ditampilkan dan dikedepankan.

“Engkau carilah Tuhan. Ia dalam kelembutan, ia dalam kemanusiaan dan ia dalam keindahan,” kata guru falsafah berjanggut itu.

“Kemanusiaan?” tanyanya kembali tetapi biolanya dipeluk erat Habuk putih bertaburan di perut biolanya. Semakin di gesek, semakin dekat rasanya dengan Tuhan. Semakin di gesek dengan penuh asyik dan fana, terasa akrab Tuhan semakin menjadi. Maka diberkas kukuhlah taqarubnya setiap kali jejarinya mengeding melentik dan mengedik-ngedik di leher biolanya itu. Dia sangat memelihara gripnya.

Tiba-tiba dia berhenti menggesek. Dia ingin memberi hormat seperti berada di tengah persembahan harmoni dari okestra yang sangat mempersona. Terdengar bunyi gesekan meneru-neru, berderau-derau, berkecipak berderum-derum. Kelepak-kelepak, prap-prap-prap dan kemudiannya menderu menderum lagi.

Lalu dia memfanakan dirinya. Melepas perasaannya dari tambatan segala macam ikatan aqaid dan akhirnya dia terjelepok fana.

Maha Suci Tuhan. Geselan itu mengeluarkan bunyi yang indah. Subhanallah, Walhamdulillah, Walaila ha illallah.

Kemudian disambut oleh kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir. Daun-daun itu bertamparan sesama sendiri, tanpa cemburu dan sakit hati. Mereka menceding-ceding, mengedik dan menampar-nampar dan kemudiannya ada yang beralah, melayah turun dari tangkainya, melayang-layang dan menghanyutkan sehelai bersama air yang mengalir tenang. Maka daun itupun membiarkan hanyutan helainya. Terombang ambing ke kiri ke kanan. Tertampan tersangkut dan kemudiannya meluncur. Bunyi mengalirnya sangat damai. Beriringan, berkelocak lembut sampaikan tidak jemu mendengarnya.

‘Subhanallah....’

Digeseknya pula berkali-kali. Menarik menolak dengan dagu terkial-kial, mulut terherot-herot. Bahu kanannya melonjak bagaikan bonggol kecil. Rasa-rasanya dia sangat taqarrub dengan Rab. Dia pun menelaah Rubbubiah. Menyusul pula pertumbuhan rasa dan zauqnya seperti kanak-kanak normal. Dirunutnya sungguh-sungguh. Terasa seperti ibunya bersenandung mesra. Terasa seperti seorang perempuan Paulina Koch yang mengajar Einstein menggesek biola di hadapannya.

Rasa-rasanya selesai sudah ia mencari Tuhan, merafak rasa lalu bertaqarrub. Yang menjadi persoalan sekarang, bagaimana ia hendak membawa balik bunyi rasa yang penuh muhibbah itu untuk memberitahu masyarakat daerahnya bahawa, kita terlalu lama rugi mempersoalkan hal-hal kecil.

Apakah mereka mahu terima kalau diberitahu tentang Einstein menemui Tuhan. Apakah mereka mahu terima tentang Aristotle, Plato, Kant, Socrates, Pythagoras, Confucius, Lao Tze atau Budha, bagaimana mereka mencari Tuhan? Bagaimana mereka yang menemui Tuhan melalui musik, filsafat, sains?

Anih, kebanyakan masyarakatnya hanya tahu Lailahaillallah tetapi tidak menemui Tuhan di dalamnya., seperti juga mereka berkata Muhamad Rasulullah tetapi tidak tahu fungsi sunnahnya. Bagaimana kalau pulang nanti dia berkata dia sudah menemui Tuhan lewat muzik alam rimba yang anih, seperti Al Hallaj mengakui Tuhan ada di dalam bajunya, seperti Hamzah Fansuri menemui Tuhan di dalam rumahnya?

“Hahhhh!” tiba-tiba dia terkejut. Ada sesuatu yang mengejutkannya. Maka dibacalah dengan lancar doa bangun tidur seperti yang di ajar oleh Rasulullah: “Alhamdulillahilllazi, Ahyana, Ba’da Ma Amatana Wa illahin nusyur.”

Dia sebenarnya sangat terlewat bangun. Selesai mandi dan berwuduk, dia bergegas ke masjid sambil mengilik biola buruknya. Niatnya, akan digesek semula biolanya di belakang masjid ketika siak menyapu sampah atau sesudah dia juga membersihkan tandas masjid atau selepas solat dhuha.

Dan memangpun terlewat. Tak sempat masbuk. Sebaik saja Takbirratul ehram, imam pun memberi salam. Selepas wirid dan doa, semua jemaah beredar. Masjid tinggal lengang kecuali siak yang pekak telinga kanannya saja.

“ Pak Mat,” panggilnya ketika duduk di kerusi simen hadiah dari Majlis Bandaran, di bangsal belakang.

Pak Mat, siak tua yang baru memegang penyapu hendak menyapu lantai berpaling kepadanya. Kebetulan panggilannya di sebelah kiri.

“Saya dah jumpa Tuhan. Kali ni saya nak beritahu semua. Tuhan kita satu!” katanya dengan nada seperti biasa.

Siak Pak Mat memang bebal orangnya. Apapun diberitahu, walaupun dia tidak dengar, dia tetap angguk.

“Pak Mat faham?”
Siak tua yang pekak itu mengangguk-ngangguk.
“Pak Mat selalu jumpa Tuhan?”
Pak Mat siak tua itu menangguk-ngangguk.
“Baguslah. Malam ni saya nak ajar semua jemaah. Saya nak beritahu saya jumpa Tuhan.”
Siak tua itu angguk-angguk juga.
“Pak Mat faham?”
Anggul-angguk juga.
“Saya nak ajar melalui main biola. Saya nak beritahu mengenal Tuhan melalui muzik, faham?”

Pak Mat tetap mengangguk. Tapi kemudiannya Pak Mat meneliang mukanya, meletak tapak tangan ke telinga kanannya. “Apa ? Kau kata apa tadi?” tanyannya dengan kuat.

“Laaa...Astaghfirullahal azim,” dia beristighfar kerana sangkanya Pak Mat sudah dengar semuanya.

“ Maaflah, dua tiga hari ni telinga Pak Mat semakin tersumbat,” kemudian dia beredar.

“Laa...” dan kemudian Sang Wahabi pun menggesek biolanya perlahan-lahan.


SELESAI.

Tiada ulasan: